Oleh Faris Jamalludin
Sekali sekala saya akan makan di kedai makanan segera. Lagi-lagi kalau berada di Kuala Lumpur sementara menunggu ETS balik ke Ipoh atau tunggu penerbangan di KLIA, memang kena singgah sebab mudah dan cepat. Kadang-kadang kalau dengan tunang, bila dah tak tahu nak makan di mana, restoran makanan segeralah jawabnya. Balik Lumut, lepak dengan kawan dan adik saya pun mesti di McDonald, depan rumah kami.
Pandangan seperti itu, lumrah. 4-5 buah mjea bersambung. Makan ramai-ramai dan habis berterabur, macam baru dilanggar garuda, macam tongkang pecah, macam kandang babi kalau nak perumpamaan yang paling kasar.
Dulu, saya pun begini juga. Selepas makan, tinggal. Itu dulu, masa zaman sebelum belayar. Bila belayar, kita tengok tempat orang, buday orang dan tabiat mereka.
Pernah makan di McDonald Buersplein, Rotterdam circa 2009/2010. Masa itu saya perasan, selepas mereka makan, mereka kemas meja, angkat talam dan letak di tempat pembuangan sampah yang disediakan. Okay.
Bila berjalan di sekitar Buersplein, Coolsingel, Karel Doormanstraat dan Lijnbaan pun senario yang sama berlaku di kedai seperti itu. Selepas makan, lap meja dengan tisu, angkat talam dan susun balik kerusi. Pelanggan yang buat, bukan pekerja. Makanya, mereka datang elok, pergi pun elok. Mereka ingat orang belakang senang cerita. Saya fikir ini satu amalan yang baik untuk diikuti.
Bila pulang ke Malaysia, saya amalkan tabiat seperti itu. Selepas makan, kemas meja, kumpul sampah, buang dalam tong sampah dan letak talam di tempat yang disediakan. Masa itu di KL Sentral, ramai yang pandang seperti memandang sesuatu perkara yang pelik. Mau tak pelik, sendiri angkat talam McDonald selepas makan, tak dibuat orang.
Buat di Midvalley, Times Square, IKEA, semua orang pandang seolah-olah tingkah laku itu pelik sangat bagi mereka.
Tabiat inilah yang saya amalkan sehingga ke hari ini. Hatta di medan selera makan kompleks beli belah, walaupun ada tukang angkut pinggan warga Bangladeshpun. Kadangkala bila kita nak makan, tengok meja yang ditinggalkan seperti dalam gambar, kita pun tolong kemaskan. Bengang juga tetapi layankan sajalah. Syukur juga ada orang lain yang mempunyai tabiat yang sama.
Kenapa saya buat begitu? Sebab pertama, saya melihat kelakuan orang Belanda dengan tabiat sedemikian masa zaman foreign going dulu sangat baik untuk diteladani. Perkara yang baik, kita jadikan sebagai contoh. Ambil yang jernih, yang kerus itu tapislah guna penapis air Elken.
Keduanya, dulu tahun 2011-2012, pernah ada kes pekerja franchais makanan segera dimaki oleh pelanggan tak tentu pasal. Siap ada video sampai kecoh satu Malaysia dibuatnya. Bertempur segala rakyat jelatan di media sosial pada waktu itu. Ramai yang kata memang patut pekerja itu kena maki. Gaji dia pelanggan yang bayar.
Saya macam 'WOW!'. Jadi duit kamu bayar itu kira lesen untuk maki dan hina pekerjaan orang lain? Hebat permainannya. Ada yang siap kata cukai perkhidmatan itu kira untuk mereka kemas tempat makan yang ditinggalkan pelanggan. Nampak tak? Itulah sikap terkeji manusia.
Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk membantu para pekerja ini. Bukan dengan wang ringgit tetapi dengan meruskan tabiat mengemas tempat kita makan sebaik selesai menjamu selera sebagai tanda solidariti kepada petugas franchais makanan segera ini. Biarlah orang kata kita buang tabiat sekalipun.
Ya, memang keuntungan kedai-kedai ini akan membayar gaji mereka tetapi itu bukan lampu hijau untuk pelanggan memaki hamun mereka atau meninggal meja makan digunakan penuh dengan sisa makanan seperti sarang babi hutan.
Di rumah pun selepas makan, kita angkat pinggan dan kemas meja sendiri, kan? Kenapa tidak begitu bila makan di luar? Tak salah pun buat begitu dan meringankan kerja kakitangan kedai makan. Malah ia lebih bagus dan melambangkan kita masyarakat yang ada pekerti mulia juga sebagai tanda kita tidak kedekut dan ada kesedaran sivik serta penanda aras mentaliti masyarakat.
Kita dambakan fasilitas kelas dunia, kelas pertama serba serbi tapi hakikatnya tabiat dan kelakuan kita tak ada kelas. Jadi berubahlah. Dah makan, kemaslah meja. Paling best bila adik-adik, achi dan uncle yang kerja sana ucap terima kasih pada kita. Sekelumit pekerti kita itu dibalas juga dengan kebaikan. Paling malas pun kurang-kurang susun atur elok agar mudah dikemas.
SUMBER : http://ift.tt/29OSAPl
EmoticonEmoticon