OIeh Arif Sukri
Kalau kau ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada jam 6 petang dan ke atas, kau akan jumpa dengan pakcik ini. Dia akan berada di tingkat dua, di antara laluan nak ke KLIA Transit dan TBS.
Dari jauh abang perhati, apa saja dalam beg dia. Berdiri seorang diri dan bila orang lalu, tak jemu-jemu dia memberi salam. Tak puas hati sebab tengok dari jauh, lalu abang terus pergi dekat dengannya.
Wajahnya tenang, mukanya bersih, pakaiannya terurus, tidak nampak seperti peminta sedekah.
"Assalamualaikum. Pakcik jual apa?" perlahan saya menyapanya.
"Waalaikumussalam, saya jual buku ini. Boleh nak mai tengok. Semuanya buku-buku agama," balasnya.
Tepat sekali tekaan abang, dia bukan peminta sedekah seperti orang lain yang ada di kaki lima ini. Misteri betul, jual di tengah-tengah jalan.
Tanpa berlengah, dengan kacak abang bertanya berapa harga buku yang dijual.
"Seikhlas hati ceq la. Ikut pi nak bayaq berapa det (duit) pun," lembut dia menjawab.
Allahu, terdiam. Rasa masa berhenti sekejap. Buku-buku agama ini dijual dengan bayaran seikhlas hati saja? Seumur hidup tak pernah jumpa lagi woih! Huhu.
Tanpa membuang kesempatan ini, abang terus belek kalau-kalau ada buku yang berkenan. Niat di hati nak juga beli dari pakcik istimewa ini. Dibelek-belek mencari buku idaman, sambil itu bertanya pada pakcik kenapa dia berniaga buku di sini dengan bayaran seikhlas hati.
"Saya berniaga di sini sudah lama. Waktu pagi saya cari buku, sebelah petang saya akan jual. Kalau ceq tengok buku-buku ini, semua buku agama," katanya dengan tenang.
Ini Pakcik Ali. Asal dari Kepala Batas dan sepenuh masa peniaga buku di sini. | Foto - Arif |
Uish! Tinggi betul cita-citanya. Dah tu, abang tanya, untung ni ambil di mana?
"Untung ni takat kita tengok rezeki sahaja. Saya percaya tuhan tak sia-siakan orang yang tolong nak sebaq agama Allah. Kadang-kadang itu ada yang mai depa tak ambil buku, depa ambil duit saja. Itu pun dah boleh rotate sikit-sikit. Dan kalau ada yang bayar sikit pun, dapat sikit untung.
"Tujuan saya nak tolong orang kita. Saya hanya mahu orang kita rajin membaca dan tolong sebaq agama Islam. Orang nak kata apa pun, saya tak peduli. Ada yang pandang sinis, tak kurang juga yang kata saya tak siuman.
Percayalah. Bila kau berborak dengan dia rasa tenang semacam. | Foto - Arif |
Mata abang dah mula masuk habuk dan berkaca. Rupanya masih ada orang seperti ini. Mahu mendidik orang membaca dan menyebar agama secara tidak sengaja.
Betul apa yang orang tua-tua dulu cakap, hati jika mahu berbudi, ke mana-mana pun dia akan terus sudi. Allahu.
Selepas memilih buku idaman dan membuat sedikit bayaran 'seikhlas hati', abang tinggalkan pakcik Ali. Sebelum meninggalkannya, dia sempat lagi berpesan, orang membaca selamanya tidak akan rugi. Memberilah selagi ada.
Dua buku yang dibeli oleh Arif dari Pakcik Ali | Foto - Arif |
Dengar kisah Pakcik Ali ini barulah tersedar, rupanya dunia ini masih belum kehilangan orang yang sentiasa positif untuk terus memberi. Mereka percaya dengan banyak memberi, kelak mereka juga akan menerima.
Saja abang nak pesan, kalau kau orang ada peluang lalu di sini dan berjumpa dengannya, beri dia semangat. Belilah buku-buku darinya. Dia bukan peminta sedekah seperti yang kau sangka. Kadang-kadang itu kau hulur RM1 pun dia akan beri juga satu buku.
Bab bayaran, terserah kepada kau. Cuma pada abang dengan membeli, sedikit sebanyak kau dah beri harapan dan semangat kepada dia bahawa masih ada orang yang ada minat untuk membaca.
Niatkan juga, mudah-mudahan dengan membeli, kau dapat membantu merealisasikan cita-citanya menolong anak bangsa.
Saja abang tulis agar kau orang tahu keberadaannya di sana. Jika tidak sempat ke sana, setidak-tidaknya dengan kongsi post ini sudah membantu usaha baiknya. Walau usia sudah menjengah senja, semangatnya masih tetap muda.
Semoga Allah merahmati usaha Pakcik Ali yang menyebarkan agama dan ilmu Allah dengan caranya. Terus menyokong! - Arif Sukri
SUMBER : http://ift.tt/29OSAPl
EmoticonEmoticon