Khasiat Susu Kurma Yang Baik Diamalkan Sepanjang Ramadhan

 
 
 
"Insya-Allah kurang lagi beberapa hari kita nak puasa. Tak tahulah larat ke tak tahun ni nak puasa. Harap sangat boleh puasa penuh sementara tengah pregnant ni."
Biasanya itulah doa para ibu hamil dan menyusukan bayi (terutama yang belum datang haid) bila Ramadan datang kembali. Semuanya berdoa agar mudah berpuasa walaupun sarat hamil dan menyusukan anak sepenuhnya dengan susu ibu. Biarpun ada kelonggaran yang diberikan oleh Allah SWT terhadap dua golongan wanita ini namun keinginan untuk berpuasa penuh tetap tersemat dalam hati para ibu.
Sebenarnya tiada halangan untuk ibu hamil dan menyusukan anak berpuasa di bulan Ramadan. Apa yang penting mereka mesti memastikan puasa tidak akan memudaratkan diri mereka sendiri dan anak yang dikandung serta disusukan.
Lebih baik dapatkan nasihat daripada doktor yang memeriksa anda sebelum membuat keputusan untuk meneruskan puasa. Jika tahap kesihatan mengizinkan, anda boleh berpuasa seperti biasa dan perlu memenuhi keperluan kalori daripada pengambilan makanan yang seimbang. Jika tahap kesihatan tidak mengizinkan, anda ada kelonggaran untuk tidak berpuasa.
Selain mengambil makanan yang menyihatkan dan seimbang, pengambilan buah kurma di bulan Ramadan adalah satu kemestian. Bukan ibu hamil dan menyusu sahaja tetapi semua umat Islam yang berpuasa. Masing-masing nak rebut pahala sunat makan kurma!
Hakikatnya buah kurma itu sendiri mengandungi banyak vitamin dan mineral yang baik untuk ibu hamil dan menyusukan.
Menurut Pakar nutrisi, Kevin Zahri antara kebaikan buah kurma kepada ibu hamil dan menyusu iaitu:
1. Menambah tenaga
Kurma mempunyai kandungan glukosa atau gula ringkas yang sangat tinggi dan baik untuk badan. Kandungan glukosa yang tinggi berfungsi untuk membekalkan kembali tenaga dalam badan ibu yang seharian berpuasa dengan cepat. Jika memakannya ketika bersahur, kurma meningkatkan dan menambah tenaga dalam badan untuk sepanjang hari berpuasa dan melakukan aktiviti harian.
2. Tinggi serat
Kurma kaya dengan serat dan baik untuk penghadaman serta memberikan tenaga yang berpanjangan. Jadi ibu hamil dapat mengelakkkan masalah sembelit kerana kurang minum air ketika berpuasa. Selain itu serat juga sesuai untuk memperlahankan penghadaman dan tidak memberi kejutan kepada perut ibu yang kosong sebelum mengambil makanan lebih berat ketika berbuka puasa.
3. Rendah sodium (garam)
Khasiat ini penting semasa kita kekurangan air. Oleh itu bagi ibu menyusu yang berpuasa pengambilan kurma ketika berbuka dan bersahur sangat penting untuk terus mengekalkan pengeluaran susu badan. Makanan yang tinggi sodium akan mempercepatkan dehidrasi.
4. Tinggi potassium
Potassium penting dalam menyeimbangkan bendalir badan, termasuk kawalan denyutan jantung dan tekanan darah.
Bagi ibu hamil dan menyusu, pastikan pengambilan makanan anda ketika berpuasa cukup untuk membekalkan tenaga dan nutrisi yang diperlukan. Oleh kerana kurma menjadi makanan yang baik untuk membekalkan tenaga sepanjang hari serta mengekalkan pengeluaran susu ibu, apa kata cuba sediakan jus susu kurma ketika berbuka dan bersahur.
Cara membuat jus kurma susu
Bahan-bahan :
  • 7 biji buah kurma, buang bijinya (untuk 1 hidangan)
  • Air mineral secukupnya
  • Susu UHT (boleh juga guna susu kambing)
  • Tidak digalakkan menggunakan susu serbuk atau susu pekat manis
Caranya:
  • Rendam kurma yang sudah dibuang biji di dalam air mineral hingga menutup permukaan kurma selama 1 malam. Anda boleh letak di dalam peti ais jika mahu sejuk.
  • Ketika waktu sahur, tuang kurma yang sudah direndam beserta air rendamannya. Tambahkan susu UHT secukupnya.
  • Kisar semuanya hingga halus.
  • Minum selepas selesai makan sahur.
Selamat mencuba!
 
Sumber: Sehinggit


via Bin Usrah SUMBER : http://ift.tt/1r7Yr4K


EmoticonEmoticon