"Apa Guna Hidup Berkeluarga Kalau Masing-Masing Ada 'Pulau' Sendiri?"


Kita semua mempunyai keluarga dan mengimpikan satu kehidupan berkeluarga yang harmoni tanpa sebarang konflik atau masalah. Namun, kehidupan ini bukanlah sentiasa cerah. Dalam setiap keluarga pasti akan ada ceritanya tersendiri. 

Walaupun sesebuah keluarga itu nampak seperti bahagia, mungkin disebaliknya tersembunyi pelbagai kisah duka. Ditambah pula dengan zaman teknologi dimana hampir setiap ahli keluarga mempunyai gajet atau telefon pintar sudah pasti ianya akan menambah kerengangan hubungan setiap ahli keluarga. 

Pernah sekali, terserempak dengan sebuah keluarga yang sedang makan di sebuah restoran. Namun, apa yang pelik ialah setiap orang dari ibu bapa hinggalah ke anak-anak masing-masing menghadap telefon pintar. Anak-anak sibuk bermain game dan ibu bapa pula sibuk bermedia sosial. 

Sudah pasti apabila pulang ke rumah masing-masing mereka tetap sibuk menghadap telefon dan gajet masing-masing. Inilah perkara yang dikongsikan oleh Ammar Kamilin mengenai kehidupan keluarga pada masa kini dimana ramai diantara kita lebih rela berada di 'pulau' buatan sendiri. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan iktibar buat semua. 

Masuk rumah. Semuanya senyap sunyi.

Suami tak bercakap. Isteri tak bercakap.

Apabila isteri mahu bercakap, suami sudah keluar rumah ‘ngeteh’ bersama kawan-kawan.

Apabila suami mahu bercakap, isteri sudah tidur di bilik keletihan.

Anak-anak? Disuruh buat kerja rumah. Tiada siapa meneman.

Akhirnya buku ditolak ke tepi, layan Insta di iPhone 7 plus lebih menarik. 

Dari mana belajar ‘duckface’? Tengok gambar Insta kawan-kawan.

Abah duduk ‘pulau’ lain.

Mama hidup ‘pulau’ lain.

Anak-anak terdampar ‘pulau’ lain.

Masing-masing ada ‘pulau’ sendiri.

Katanya kita keluarga?

Suami ada masalah, tak terasa nak berbincang dengan isteri.

Isteri ada masalah, tercari-cari dengan siapa mahu dikongsi.

Anak ada masalah, terasa hidup sebagai anak tiri. 

Hidup sendiri-sendiri.

Keluarga bahagia? Jauh. Lebih jauh dari Kuala Lumpur ke Miri.

Buka surah At-Taubah.

Kaab bin Malik dan beberapa orang sahabat Nabi dipulaukan kerana tidak turut serta dalam Perang Tabuk.

Betapa mereka hidup dalam resah gelisah.

Pulau bukan perkara kecil. Itu hukuman ‘paling kejam’ untuk manusia.

Jika penjara. Orang sudah terkurung. Memang tiada siapa lagi dapat dilihat dari dalamnya.

‘Pulau’ lebih sadis. Lebih dari penjara.

Kita nampak manusia lalu lalang di hadapan kita, tetapi tidak ada seorang pun mahu membuka mulut memulakan bicara. 

Mereka yang memandang, terus memaling muka. 

Nampak kita bergerak ke arah mereka, satu saat lagi mereka lesap hilang tiada.

Kita ada, tapi tidak wujud bagi mereka.

Itulah ‘Pulau’.

Betapa Allah rekodkan dalam Quran. Perasaan Kaab bin Malik.

Walaupun dunia ini sangat luas. Tetapi semuanya terasa sangat sempit menyesakkan jiwa. 

Apabila mereka dipulau manusia.

Dan segelintir kita?

Sengaja mencipta ‘pulau’ sendiri dalam rumah.

Bayangkan perasaan isteri yang tidak dapat bercakap walau sepatah kata dengan suami dalam satu hari.

Pergi ke dapur, hanya dia dan kuali.

Pergi ke ruang tamu, hanya dia dan TV.

Pergi ke bilik, hanya dia dan anak-anak.

Mencari suami. Di mana suami.

Bayangkan sesaknya dada seorang suami yang perlukan srikandi untuk ‘menyelimuti’.

Pergi ke dapur, hanya dia dan maggi.

Pergi ke ruang tamu, hanya dia dan kucing parsi.

Pergi ke bilik, hanya dia dan Samsung Galaxy.

Mencari isteri. Di mana isteri.

Bayangkan anak-anak yang perlukan mama dan abah untuk ceritakan kehidupan sekolah sepanjang hari.

Pergi ke bilik, dari dalam berkunci.

Pergi ke ruang tamu, kosong sunyi.

Pergi ke dapur, hanya ada makanan bawah tudung saji.

Abah mama mana?

Kita ada seluas dunia dan seisinya untuk menikmati hidup, tetapi ada yang memilih untuk tinggal di ‘pulau’ sendiri-sendiri.

Rugi.


Sumber : kaki share

Sumber :


EmoticonEmoticon