Soalan: adakah alkohol dalam pewangi itu najis dan tidak boleh dibawa solat? Bagaimana pula dengan penggunaa alcohol swab untuk mematikan kuman semasa rawatan dan juga ketika berbekam?
Jawapan:
Definisi alcohol menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah : “1. cecair yg mudah terbakar dan juga memabukkan (terdapat dlm minuman keras dll); 2. minuman keras; beralkohol mengandungi alkohol: jangan minum minuman ~ atau bergas; elakkan merawat luka dan calar dgn larutan ~.”
Terdapat dua pandangan ulama dalam isu ini.
Pandangan Jumhur
Ulama al-Syafieyyah memandang bahawa alkohol adalah najis kerana ia termasuk dalam jenis bahan cecair yang memabukkan. Disebut dalam Kitab Fiqh al-Manhaji (1/183-184):
“Pertama: Arak dan semua cecair yang memabukkan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Surah al-Maidah: 90)
Maksud kotor dalam ayat di atas ialah najis. Daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
كُلَّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَأَنَّ كُلَّ خَمْرٍ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.”
Riwayat Muslim (2003)”
Ini juga adalah pendapat muktamad dalam mazhab Maliki, Hanafi, dan Hanbali. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (40/93-94).
Pandangan Minoriti
Mereka berpendapat arak itu haram minumnya tetapi sifatnya tidak najis. Mereka berdalilkan dengan perbuatan para sahabat antaranya Abu Talhah yang menumpahkan dan memecahkan tempayan-tempayan arak setelah arak diisytihar haram di dalam Islam, sehingga mengalir arak itu di jalan-jalan di Madinah (Rujuk Sahih al-Bukhari no. 2464). Jika arak najis, nescaya para sahabat tidak melakukan perkara itu kerana terdapat larangan untuk membuang rata najis dan kencing di jalanan. Mereka menjawab istidlal kenajisan arak pada ayat 90 surah al-Maidah dengan maksudnya adalah najis hukmiyyah atau maknawi, bukannya pada zat atau ainnya. Dalam erti kata lain, batang-batang panah yang digunakan untuk meneka nasib, tanah pada berhala dan alat-alat judi itu bukan najis pada ainnya. Najis maknawi juga ada di dalam ayat al-Quran:
إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis,
(Surah al-Taubah: 28)
Najis di sini bererti najis pada kepercayaan, bukan pada badan. Justeru pendalilan najis berdasarkan lafaz rijs pada ayat ini tidak bersifat qat’i (pemutus).
Ini adalah pendapat Rabi`ah Syeikh kepada Imam Malik, al-Laith bin Saad, al-Muzani sahabat dan anak murid kepada Imam al-Syafie dan golongan ulama mutaakhkhirin seperti al-Syaukani dalam Nail al-Autar, al-San’ani dan Syeikh Muhammad Rashid Ridha, dan Syeikh Atiyyah Saqr.
Rujuk Fatawa Atiyyah Saqr (1/78); al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (40/93-94).
Ini juga adalah pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa al-Mu’asirah.
Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alcohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
Tapai halal dimakan.
Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Kesimpulan
Kami berpendapat sebolehnya kita mengambil langkah warak untuk meninggalkan penggunaan alkohol dalam urusan harian kita. Ini untuk meninggalkan khilaf dalam kalangan ulama. Ini juga bagi mengelakkan syubhah, khususnya jika kita tidak pasti alkohol dalam bahan-bahan pewangi berasal daripada pembuatan arak atau bukan. Sabda Rasulullah SAW:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
Maksudnya: "Tinggalkan apa yang kamu ragui kepada apa yang tidak kamu ragui"
Riwayat al-Tirmidzi (2442)
Justeru, boleh pilih alternatif-alternatif yang diyakini suci dan halal. Namun jika terdapat keperluan, boleh menggunakannya mengikut garis panduan yang diletakkan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang dinyatakan di atas. Semoga Allah Taala memberkati hidup kita.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
via Bin Usrah
Sumber : GengViral
Sumber :
EmoticonEmoticon