KUALA LUMPUR - Gara-gara merokok ketika mengandung, seorang ibu kesal apabila anak ketiganya yang dilahirkan pada November tahun lalu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang, lapor Harian Metro.
Ita, 30, berkata, dia menyesal kerana anaknya, Mikhael, 4 bulan, terpaksa menanggung akibat daripada perbuatannya yang merokok semasa mengandungkan anak itu.
"Saya mula merokok semenjak usia remaja. Ketika mengandungkan Mikhael pun saya merokok tetapi tidak kerap. Dua kehamilan sebelum ini juga sama tetapi mereka tiada masalah kesihatan.
"Tidak sangka pula kali ini ia akan memberi kesan pada Mikhael. Apabila Mikhael yang terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan saya, saya rasa menyesal dan bersalah sangat," katanya.
Sejak Mikhael disahkan menghidap penyakit jantung berlubang ketika berusia tiga bulan, Ita nekad berhenti merokok.
"Dulu sekurang-kurangnya satu kotak rokok sehari, tetapi apabila doktor kata Mikhael hidap jantung berlubang, saya terus berhenti.
"Sejak Mikhael dilahirkan di Hospital Ipoh, dia sudah mengalami masalah pernafasan. Bagaimanapun doktor meminta Mikhael dirujuk ke hospital di Selangor selepas saya selesai berpantang.
"Pada mulanya saya ingatkan tidak serius, tetapi apabila saya bawa Mikhael ke Klinik Desa Padang Jawa untuk pemeriksaan bulanan, doktor terus panggil ambulans untuk bawa dia ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang kerana pernafasannya merosokt," katanya.
Menurut Ita, Mikhael seperti bayi normal yang lain tetapi dia lebih cepat berasa letih dan sentiasa mahu tidur. Mikhael kini sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Serdang kerana ada jangkitan di paru-parunya.
Mikhael dijadualkan akan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) tetapi tarikh pembedahan masih belum diberikan.
"Semua orang pun tahu bahawa rokok adalah penyebab utama masalah kesihatan. Tetapi sebelum ini tidak kena pada kita, bila dah kena baru sedar. Kalau Tuhan nak tunjuk, bila-bila masa sahaja," katanya. - The Reporter
Sumber : GengViral
Sumber :
EmoticonEmoticon