Manusia dijadikan Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya seperti dijelaskan melalui firman yang bermaksud:
"Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepadaku." (Surah adz-Dzariyat, ayat 56)
Ayat ini mengingatkan manusia memastikan setiap perbuatan yang dilakukan mestilah berteraskan kepada niat ibadah kerana Allah SWT.
Barangkali manusia tidak sedar, setiap perbuatan yang dilakukan walaupun kecil jika dilakukan kerana menjaga syariat Allah SWT akan mendapat pahala dan keberkatan daripada-Nya.
Manusia di bumi ini umpama musafir yang sedang berjalan mencari kurniaan dan rezeki Allah SWT.
Menerusi rancangan Islam itu Indah di IKIMfm, Ustaz Abdul Rahman Harman Shah Raniri, berkata bekerja adalah ibadah yang mempunyai banyak kelebihan jika dilaksanakan secara sempurna dan bersungguh-sungguh.
Metodologi atau khaifiat yang dilakukan dengan baik, teratur dan mengikut syariah Allah SWT pastinya akan mendapat pulangan pahala untuk akhirat, serta hasil yang baik di dunia ini.
Sebenarnya apa sahaja yang dilakukan oleh seorang Mukmin mesti disematkan dalam diri bahawa sepanjang waktu dalam hidup kita adalah ibadah.
Justeru setiap perbuatan seseorang Mukmin ada ganjaran pahala yang terselit di sebaliknya. Peniaga Muslim yang jujur dan amanah dalam perniagaannya akan ditempatkan bersama Nabi serta syuhada pada Hari Akhirat nanti.
Oleh itu, peniaga hendaklah menyiapkan dan mengamalkan amalan jujur serta amanah kerana itu yang akan membawa mereka ke syurga Allah SWT.
Sama ada guru, doktor atau apa juga profesion, roh bekerja dengan niat untuk beribadah kerana Allah SWT akan mendapat ganjaran pahala yang besar.
Allah SWT mengurniakan kebaikan dan kerahmatan kepada Mukmin yang melaksanakan tugasan waima kerja harian sekalipun.
Kemuliaan Mukmin bekerja
Allah SWT memuliakan Mukmin yang menjalankan kerja dengan penuh ketaatan, jujur, amanah, rajin dan bersungguh-sungguh.
Dalam sebuah riwayat diceritakan seorang lelaki bekerja sebagai penjual kayu api. Hasil daripada jualan kayu api itulah digunakan untuk menampung keluarga malah hasil daripada pendapatannya itu disedekahkan pula kepada orang lain. Lelaki itu dikurniakan kebaikan di sisi Allah SWT.
Walaupun pekerjaannya sekadar menjadi pengikat kayu api, ia lebih baik daripada mereka yang tidak bekerja. Allah SWT tidak menyukai mereka yang tidak bekerja.
Orang yang bekerja menterjemahkan ketaatan terhadap perintah Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini. Melakukan pekerjaan adalah untuk menzahirkan hukum hakam Allah SWT.
Rezeki yang halal menjadi pokok pangkal dalam mencari rezeki. Justeru, dalam menegakkan amal makruf nahi mungkar, seorang pekerja perlu meninggalkan perkara yang membawa kepada kemungkaran yang boleh menjerumuskan manusia ke arah perbuatan tidak baik.
Cegah kemungkaran
Tanggungjawab setiap Mukmin mencegah perbuatan buruk seperti rasuah, penipuan, pecah amanah merebak dan menjadi barah dalam masyarakat.
Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh sahabat: "Wahai Rasulullah, bolehkah berlakunya seseorang Mukmin itu kedekut? Lalu Baginda berkata: "Boleh jadi." Lalu sahabat bertanya lagi: "Bolehkah berlakunya seseorang Mukmin itu penakut?"
Baginda menjawab: "Boleh jadi." Sahabat bertanya lagi: "Bolehkah berlakunya seseorang Mukmin itu penipu?" Baginda menjawab: "Tidak akan boleh jadi seseorang Mukmin itu menipu kerana seseorang Mukmin tidak akan menipu dalam melaksanakan tugas atau peranannya sebagai manusia dalam kehidupannya."
Seorang Mukmin harus beramal dengan amalan soleh kerana sekecil-kecil perbuatan ada ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Carilah rezeki yang halal yang akan meletakkan seseorang Mukmin dalam kalangan orang yang soleh di sisi-Nya.
Tidak ada apa yang paling dikehendaki seseorang Mukmin di muka bumi ini selain mendapat kemuliaan dan menjadi penghuni syurga pada akhirat kelak.
Sumber : BH Online
via Bin Usrah SUMBER : http://ift.tt/1r7Yr4K
EmoticonEmoticon