BOLEHKAH MAKAN SAHUR SELEPAS WAKTU IMSAK..? INI JAWAPANNYA..!!!
Amalan bersahur amat-amatlah digalakkan walaupun hanya seteguk air kosong. Sahur ialah santapan yang berkat. Rasullah saw bersabda: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).
Namun persoalannya, masih boleh lagikah makan sahur setelah masuknya waktu imsak?
SOALAN :
Sesetengah masjid di Lembah Kelang ini mengumandang azan dua kali pada waktu sebelum Subuh. Soalan saya bolehkah makan sahur selepas azan pertama. Biasanya azan pertama itu setengah jam sebelum azan kedua. Bagaimana pula dengan waktu Imsak, iaitu waktu 10 minit sebelum azan kedua, bolehkan seseorang bersahur dalam tempoh ini.
JAWAPAN :
Antara masalah yang disepakati ulama, ibadat puasa bermula dari naiknya fajar sadiq hingga terbenam matahari. Fajar sadiq ialah cuaca cerah waktu pagi, sebelum naik matahari. Allah berfirman:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu cahaya siang dari kegelapan malam, iaitu waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (al-Baqarah: 187)
Berpandukan ayat ini, ulama mentafsirkan, waktu puasa yang sebenarnya ialah waktu naik fajar subuh hingga terbenam matahari atau hingga masuknya waktu Maghrib. Selain daripada jarak antara dua waktu ini, harus bagi orang berpuasa mengambil makan, minum dan berhubung kelamin. Ini juga bermakna, jika seseorang mendengar azan yang menandakan masuknya waktu Subuh, sedangkan dalam mulutnya masih ada makanan, hendaklah dibuang. Jika ditelannya, nescaya batal puasanya.
Memang suatu kelaziman berlaku di kebanyakan negara Islam, bilal yang bertugas masjid mengumandang azan pertama sebelum azan subuh. Tujuannya ialah memaklumkan waktu Subuh hampir tiba, orang Islam yang akan menunaikan puasa pada esok hari hendaklah bersiap sedia menyempurnakan sahur, mencuci mulut dan mengambil wuduk untuk solat Subuh berjamaah.
Di sesetengah negara pula membuat waktu Imsak, iaitu 10 minit sebelum masuknya waktu solat Subuh, bagi tujuan yang sama. Waktu imsak atau 10 minit sebelum Subuh itu, bukan waktu bermulanya puasa, kerana dalam tempoh ini masih diharuskan makan dan minum. Lebih tepat jika kita katakan, imsak hanya masa membuat persiapan untuk berpuasa.
Bersahur pada dasarnya sunat dilewatkan, kerana ada hadis yang menyatakan bahawa umat ini sentiasa beroleh kebajikan, jika mereka sentiasa mengamalkan prinsip segera berbuka dan lewat bersahur. (Syarh al-Sunnah, 6/253).
Ada juga hadis yang menyatakan, jarak masa antara sahur dengan waktu Subuh kira-kira masa yang menyamai bacaan 50 ayat al-Qur`an yang sederhana. Rasulullah (s.a.w.) bersabda dalam hadis riwayat Zaid Ibn Thabit, katanya yang bermaksud:
Kami bersahur bersama Rasulullah (s.a.w.), kemudian kami bangun untuk solat Subuh. Jarak antara sahur dan solat Subuh kira-kira kadar bacaan 50 ayat. (Bukhari 4/118, Muslim, bilangan 1097)
Meskipun harus bagi seseorang bersahur pada waktu imsak, tetapi bagi seseorang yang ingin berpuasa pada esok harinya, sebaik-baiknya mengambil sikap yang lebih ihtiyat (cermat) bagi puasanya, iaitu dengan menahan daripada makan dan minum beberapa waktu lebih awal daripada masa puasa yang sebenarnya. Cara ini boleh mengelakkan seseorang daripada melampaui batas-batas yang diharus dan meragukan.
Jika seseorang menganggap, waktu puasa adalah bermula daripada waktu imsak, maka anggapan itu meleset dan tidak tepat, kerana puasa seperti yang disebutkan di atas bermula daripada naiknya fajar sadiq atau waktu subuh.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi: Jika seseorang selalu mengamalkan puasanya bermula daripada waktu imsak, maka ia telah melakukan suatu keterlaluan dalam agama ini dan bertentangan dengan Sunnah nabi s.a.w. (Fatawa Mu`sirah, 1/313).
Saya berpendapat, waktu imsak adalah waktu untuk bersiap sedia ke masjid bagi menunaikan solat Subuh. Ulama kita sebelum inipun tidak peranah diketahui ada yang mengatakan puasa bermula dari waktu itu.
Sumber – Myibrah.com
via Bin Usrah
Sumber : GengViral
Sumber :
EmoticonEmoticon