"Aku terjaga dari tidur dan aku melihat ada satu lembaga hitam sedang memerhatikanku. Aku seakan-akan boleh dengar dia sedang berkata sesuatu. Aku ketakutan melihat pandangan sinis mata merahnya itu. Tiba-tiba lembaga itu berada di atasku dan memuntahkan sesuatu. Aku dapat merasakan lendir dan basah yang menimpaku"
Ianya mungkin bagaikan skrip di dalam sebuah filem seram. Namun ianya adalah pengalaman sebenar dari seseorang yang menceritakan tentang fenomena "kena tindih jin" atau lebih dikenali sebagai "sleep paralysis". Mari kita selami lebih dalam apakah kejadian kena tindih jin yang sebenarnya.
Punca penyebab fenomena tindih jin
Kejadian ditindih jin atau dihempap jin ini biasanya berlaku ketika hendak tidur ataupun ketika hendak bangun dari tidur. Terdapat tiga kategori halusinasi tindih jin ini iaitu halusinasi pencerobohan dimana individu akan merasakan seperti ada aura jahat dan menakutkan di dalam bilik sehingga mampu bertukar kepada halusinasi hyper yang boleh menipu otak menyangka kehadiran penceroboh itu adalah benar-benar berlaku. Contohnya seperti berlaku pecah rumah.
Jenis yang kedua pula ialah halusinasi 'syaitan dan jin'. Situasi yang dialami adalah sama seperti halusinasi pencerobohan cuma karekter yang datang mengganggu itu adalah berupa hantu-hantu yang mungkin pernah dilihat di kaca televisyen ataupun di dalam gambar. Kategori terakhir pula dikenali sebagai halusinasi "vestuibular-motor", dimana individu akan mengalami pergerakan ilusi seperti terapung-apung dan berterbangan.
Fenomena-fenomena ini adalah gejala biasa narcolepsy (keinginan yang melampau untuk tidur) dimana tidur dalam keadaan ini menyebabkan kitaran jaga dan lena (sedar dan tidak sedar) menipu otak bahawa dirinya sudah lena tapi sebenarnya tidak. Ianya juga adalah perkara biasa bagi pesakit psikiatri, pesakit yang mengalami trauma dan individu yang terlalu mudah berasa panik.
Ada juga yang mengalami peristiwa tindih jin ini tanpa apa-apa syarat psikiatri. Faktor-faktor yang berpotensi menjadi punca utama adalah hidup tertekan, keresahan, dan kualiti tidur yang tidak terjaga. Ini disokong oleh kajian lain yang menunjukkan bahawa individu yang tidur tidak teratur, pekerja syif, lebih kerap mengalami halusinasi ataupun fenomena tindih jin ini.
Kajian makmal
Setiap hari, kita akan melalui beberapa peringkat tidur yang berbeza. Selepas tidur, kita akan melalui peringkat satu dua dan tiga, menunjukkan tahap nyenyak yang tidak sedarkan diri. Sekiranya terjaga ataupun tidur terganggu, kita kan kembali ke peringkat pertama untuk jangka masa yang lama. Situasi ini dipanggil sebagai "REM-sleep" dimana mata kita akan bergerak dengan laju sebelum betul-betul nyenyak.
Pada ketika REM ini, aktiviti otak meningkat tinggi. Tubuh badan akan lumpuh (kerana tiada kesedaran diri) selain mata dan sistem pernafasan. Mekanisme inilah yang membantu jasad kita statik di atas katil tanpa melakonkan kembali mimpi kita. Namun ada juga kes dimana mekanisme kelumpuhan badan ketika tidur ini gagal menyebabkan individu bertindak secara fizikal melakonkan mimpi mereka (mengigau berjalan).
Sekumpulan penyelidik Jepun dapat mendorong fenomena tindih jin ini dengan sengaja secara sistematik. Mereka mendapati bahawa jika mereka diganggu dalam tempoh REM dan sambung tidur kembali, kebarangkalian tinggi mereka tidak perlu melalui peringkat tidur yang lain dan terus pergi ke REM. situasi ini dipanggil SOREM (sudden on set rapid eye movement). Dalam keadaan SOREM ini, mereka berkebarangkalian tinggi mengalami fenomena ditindih jin ataupun sleep paralysis.
Kajian ini menunjukkan situasi dan fenomena ditindih jin berkait rapat dengan REM (peringkat tidur dimana mata kita bergerak laju). Apa yang sebenarnya terjadi adalah kamu bangun dari tidur dengan kesedaran dan keadaan sekeliling anda namun tubuh badan dan otot anda dalam keadaan lumpuh. Ayat ringkasnya "Minda sedar tapi badan tidak". Sebab itulah petua orang tua-tua zaman dahulu "kalau kena tindih, gerakkan ibu jari kaki atau tangan". Tujuan sebenarnya adalah untuk kejutkan badan anda yang sedang tidur.
Sehingga kini belum ada lagi kajian sistematik mengkaji kesan ubat terhadap sleep paralysis ini. Bagi sesetengah pesakit mental, ubat anti-depress boleh membantu mereka menghindari fenomena ditindih jin. Bagaimanapun, kajian mengesyorkan untuk jaga tidur agar tidur teratur. Selain itu, anda juga boleh cuba mengubah posisi tidur, dan mengamalkan diet serta senaman harian. Sesiapa yang kerap mengalami kejadian ditindih jin perlu ingat, ianya tidak akan kekal selamanya dan ianya tidak boleh menyakitkan kamu. Kena kuatkan semangat.
Sumber : http://iluminasi.com
via Bin Usrah SUMBER : http://ift.tt/1r7Yr4K
EmoticonEmoticon