Panas baran, punca mangsa minta putus hubungan dengan suspek


ALOR SETAR, KEDAH - Bapa saudara kepada mangsa yang ditikam bekas teman lelakinya di tepi jalan semalam tampil mendedahkan sikap panas baran suspek yang menjadi punca anak saudaranya meminta memutuskan hubungan lelaki itu. 

Mohd Zahir Osman, 43, berkata, hubungan anak saudaranya, Hazwani Ismail, 23, dengan bekas teman lelakinya itu sudah putus sejak dua bulan yang lalu kerana Hazwani tidak dapat menerima sikap panas baran dan cemburu suspek. 

"Wani singgah di kedai itu untuk membeli barang dan dipercayai lelaki itu sudah mengekorinya dengan motosikal sebelum itu lagi. 

"Bagaimanapun sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, lelaki itu terus datang dan membuka pintu sebelum menikam perut Wani sebanyak empat kali," katanya kepada wartawan Harian Metro, Hafis, ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). 

"Cara dia menikam Wani itu seperti ingin membunuhnya dan kemungkinan dia tidak dapat menerima hakikat bahawa hubungan mereka sudah tiada menyebabkan dia sanggup bertindak sedemikian rupa. 

"Sedangkan apa yang kami tahu, dia sebelum ini budak yang baik namun mempunyai sifat panas baran dan pernah datang ke rumah dan disukai ibu bapa Wani," katanya. 

Difahamkan Hazwani dan bekas teman lelakinya itu sudah lama berkenalan dan belajar bersama-sama di Kolej Polytech MARA Alot Setar. 

Hazwani dilaporkan telah selamat menjalani pembedahan pada jam 4.30 pagi tadi dan kini dilaporkan stabil. Bagaimanapun mangsa masih trauma dengan kejadian itu dan enggan bertemu dengan sesiapa buat masa ini. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya masih berusaha mengesan suspek yang telah menghilangkan diri. 


Sumber : GengViral

Sumber :


EmoticonEmoticon