'Selepas 3 minggu bersalin, isteri saya meninggal dunia'


Hanya kerana kesilapan pihak yang diamanahkan, seorang lelaki dan anak kehilangan isteri dan ibu. Kesilapan kecil yang tidak sepatutnya dilakukan telah meragut nyawa si ibu selepas tiga minggu bersalin anak pertama mereka yang telah ditunggu hampir empat tahun. 

Tiada sesiapa yang akan memahami perasaan kehilangan ini melainkan mereka yang pernah melaluinya. Hargailah isteri, bahagiakanlah mereka. Semoga perkongsian pengalaman dari lelaki ini membuka mata golongan lelaki bergelar suami di luar sana.

Hampir empat tahun menunggu, akhirnya isteri mengandung

Assalamualaikum. Terbaca kisah pengalaman bro teman isteri masuk Labour Room. Beza pengalaman saya, isteri dijemput Ilahi selepas bersalin. Sedih kalau pandang wajah anak. 

Isteri saya meninggal dunia selepas tiga minggu bersalin. Kami usaha nak dapatkan anak hampir empat tahun selepas berkahwin. Bermacam-macam cara yang kami usahakan termasuk perubatan moden dan kampung. Siap berurut lagi. 

Bila dapat tahu isteri mengandung, memang bersyukur. Saya cuba bayangkan masa dengan isteri. Isteri surirumah. Sebab kami mahukan yang terbaik untuk anak. 

Saya daftar isteri untuk bersalin di salah sebuah hospital swasta. Kalau saya sebut nama hospital itu, mesti ramai yang kenal. 

Selepas seminggu, isteri mulai lemah dan sesak nafas

Masa nak bersalin, semua nornal. Saya pun berada dalam Labour Room. Selepas bersalin, isteri okay sihat dan anak pun sihat. 

Balik saja ke rumah seminggu selepas itu, badan isteri mula lemah dan sesak nafas. Saya bawa isteri ke hospital dan doktor mendapati ada jangkitan kuman dalam darah. 

Puncanya, semasa isteri bersalin, baki darah tidak dibersihkan dengan elok. Umpama masih ada sisa darah di dalam. Allah, berat sungguh dugaan ini. Hanya seminggu isteri dapat bersama anak kami. 

Anak yang masih tidak mengenal wajah ibu, yang masih memerlukan susu ibunya. Sungguh demi Allah saya tak kuat. Mujurlah ada keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberi semangat. 

Dua minggu cuba melawan tetapi bila sel kulit dah mati, hampir keseluruhan tubuh isteri menjadi hitam akibat jangkitan kuman. Saya cuba tidak menangis ketika menemani isteri di NICU sebab doktor kata mungkin dia koma. Tetapi dia boleh mendengar dan daras apa yang kita cakap. 

Ramai minta saya ambil tindakan undang-undang

Tapi saya tidak mampu. Bila teringat anak kami yang masih kecil, siapa yang nak jaga anak nanti kalau isteri tak ada? 

Isteri yang 100% bergantung pada mesin oksigen akhirnya pergi jua. Saya cuba bersabar dan istigfar sebab tiada satu pun di dunia ini milik kita, semua milik Allah. Tetapi saya bersyukur sebab saya sempat temankan isteri semasa dia nak bersalin. 

Ya, saya baca tentang kerinduan seorang suami pada isterinya yang meninggal dunia semasa bersalin itu. Saya dapat memahami perasaan itu, sahabat. 

Ramai yang meminta saya mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital swasta itu. Tetapi kalau saya saman pun, isteri saya tidak mungkin akan kembali dan hanya akan membuatkan saya bertambah sedih bila kes ini dibuka. 

Semasa isteri mengandung, saya jaga makan pakai dia. Apa yang dia nak makan, saya usahakan sampai jumpa. Tetapi hanya disebabkan kesilapan pihak hospital swasta itu, saya dan anak kehilangan isteri dan ibu. 

Anak sekarang dijaga oleh ibu dan ibu mertua secara bergilir-gilir. Saya dalam prose untuk bertukar tempat kerja ke kampung untuk memudahkan saya menjaga dan menguruskan anak sendiri. 

Alhamdulillah, Allah hadirkan anak yang seiras isteri saya. Sedikit sebanyak dapat mengubat rasa rindu bila memandang wajah anak. 

Untuk lelaki di luar sana, layan dan hargai isteri anda. Kita tidak tahu sampai bila jodoh kita. Al-fatihah untuk isteri.

Sumber: Info Ibu Hamil


Sumber : GengViral

Sumber :


EmoticonEmoticon