"Usia Emas Anak-Anak Cuma Sekali, Saya Tak Mahu Mereka Ulang Apa Yang Saya Alami"


Masih terbayang saat-saat sewaktu saya kanak-kanak, sekitar umur 7 tahun, pada waktu pagi saya menaiki van sekolah ke sekolah kebangsaan, pada waktu petang sekali lagi menaiki van sekolah ke sekolah rendah agama. 

Ayah saya bekerja sementara ibu saya suri rumah dengan jumlah tanggungan anak seramai 6 orang pada waktu itu. Zaman itu, pelajaran agama adalah menjadi pilihan di tangan ibu bapa masing-masing, ada yang menghantar anak ke tahfiz abim, ada yang selesa dengan sekolah kebangsaan sahaja.

Jika ditelusuri sejarah, pada tahun 80-an ramai yang sudah mula mempunyai kesedaran agama. Jika sebelum itu, pemakaian tudung adalah sesuatu yang ‘rare’ dalam masyarakat, tetapi mulai era 80-an, wanita Islam di Malaysia sudah mengenakan tudung. 

Saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa, juga jabatan agama islam negeri yang memberi saya peluang untuk mengenali dan memahami agama melalui persekolahan pada tahun 90-an.

Kementerian pelajaran juga telah mempelbagaikan kemudahan fasiliti dan prasarana,hari ini anak-anak muda seawal 7 tahun sudah didedahkan dengan pendidikan digital. Namun ada sesuatu yang lompong di situ. Pendidikan agama Islam dalam keseluruhan silibus kebangsaan mungkin sekitar 10%. 

Itu masih belum mencukupi dalam membekalkan pendidikan agama yang syumul (menyeluruh) dan kamil (sempurna), kepada seorang anak. Setiap pelajaran yang diajar di sekolah seperti sekeping-sekeping ‘jigsaw puzzle’, dan ia tidak menampakkan keseluruhan gambaran keseluruhan ‘puzzle’ bagi seorang anak untuk dia memahami apa tujuan dia hidup sebagai seorang Islam.

Persoalan timbul bila mana adakah mencukupi dengan seorang anak mengetahui membaca, menulis dan mengira, sedangkan arah tuju utama sebagai seorang muslim seperti dipinggirkan daripada menjadi falsafah utama dalam pendidikan anak-anak orang Islam di negara kita?

Hari ini, sekolah-sekolah rendah agama telah diperbanyakkan dan diperluaskan. Begitu juga kelas KAFA. Ia menjadi pilihan yang popular kepada ibu bapa. Ada yang sanggup menghabiskan wang sehingga RM400-700 sebulan supaya pendidikan agama yang komprehensif dapat diberikan sewaktu umur emas anak-anak dengan memilih sekolah agama swasta atau integrasi. 

Walaubagaimanapun, harga yuran yang ditawarkan seperti tidak diseimbangkan dengan kawal selia daripada segi kualiti pengajaran, dan perkhidmatan yang ditawarkan. Setiap sekolah bebas menawarkan harga yuran masing-masing. Oleh kerana bilangan sekolah agama swasta atau integrasi ini tidak banyak, ia dilupakan oleh mereka yang tinggal jauh kerana kos pengangkutan juga boleh tahan di bandar besar dan mereka yang keluarganya bersaiz lebih daripada 4 orang.

Sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz juga menjadi perhatian kepada ibu bapa. Justeru, kerajaan juga telah meningkatkan belanjawan dalam hal ini. Hari ini, setelah hampir 30 tahun, saya melihat anak saya yang sedang melalui zaman mereka berumur 7 tahun. 

Saya masih tercari-cari ‘method’ persekolahan yang sesuai untuk anak-anak bagi memenuhi tanggungjawab saya dalam memahamkan mereka erti tujuan sebenar seorang muslim. 

Kekangan saya yang bekerja waktu pejabat, kekangan jarak dan masa tempat kerja dengan tempat tinggal, suami dan isteri yang berbeza jarak tempat kerja sejauh 1 jam perjalanan kereta, keselamatan anak-anak dengan jenayah yang semakin tak masuk dek akal, kos hidup di bandar yang semakin tidak setimpal dengan bayaran gaji, semua ini menjadi teka-teki dalam fikiran saya dalam menempatkan sekolah anak.

Usia emas anak-anak cuma sekali, saya tidak mahu anak-anak saya mengulangi semula apa yang 30 tahun lepas telah saya lalui. Hari ini, mereka yang mempunyai kesedaran agama ada di mana-mana institusi, badan-badan kerajaan. 

Mereka bekerja dan memahami situasi. Mereka cuma perlukan sesuatu yang ‘menggerakkan’ untuk membuat perubahan. Jika tidak hari ini, bila lagi kita mahu mulakan? Pendidikan agama perlu dicorakkan oleh anggota masyarakatnya sendiri.

Bagi saya, silibus pelajaran kebangsaan perlu dirombak dan disusun semula supaya lebih syamil (menyeluruh) dan kamil (sempurna) serta relevan sebagai seorang muslim. Pegangan seorang anak Islam perlu dikukuhkan, dan potensi perlu digilap, sebelum setiap anak menjadi ‘master’ dalam bidang dan kecenderungan masing-masing. 

Pemahaman dalam akidah Islam yang sebenar menjadikan seorang anak, manusia yang tidak takut menghadapi ujian dan kekecewaan hidup, sentiasa mengetahui prioritinya di mana, sentiasa berusaha untuk menjadi umat terbaik sebagai contoh pada manusia di atas seluruh permukaan bumi.

Bukankah peranan seorang guru supaya menjadi mursyid (memberi petunjuk jalan) kepada anak-anak supaya nampak destinasi akhirnya di mana dan sikap apa yang perlu diambil semasa hidup di dunia? Kepingan ‘jigsaw puzzle’ itu perlu dirangkumkan untuk mengelakkan kekeliruan kepada sang anak dalam memahami asas seorang muslim. Ia juga supaya idea ini tidak ‘contradict’ antara pendidikan di sekolah dan di rumah.

Islam tidak perlu ditakuti, Islam adalah rahmah (kasih sayang) kepada seluruh alam. Ia akan membuka kepada penerokaan ilmu dan penciptaan yang lebih hebat. Alangkah sayangnya, satu pembaziran jika pendidikan kebangsaan masih duduk dalam bentuk kepingan-kepingan ‘jigsaw puzzle’ ini. 

‘Sekolah rendah kebangsaan’ dan ‘sekolah rendah agama/KAFA’ dibezakan akan memberi acuan kepada pemikiran anak-anak bahawa agama itu adalah ‘asing-asing’ dan sempit. Sedangkan Islam membawa keluasan daripada segi pemikiran, cara pandang dan tindakan.

Tidak dinafikan, negara kita adalah yang terbaik dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya. Sekolah rendah kebangsaan yang murah yurannya menjadi daya penarik. Ia masih menjadi pilihan buat ibu bapa yang mengukur kemampuan ekonomi di badan sendiri.

Bak kata pepatah, angan-angan itu free. Semoga angan-angan saya supaya pendidikan kebangsaan dapat mengutamakan agama ini didengari. Amin.


Sumber : kaki share

Sumber :


EmoticonEmoticon