BERCAHAYA PADA HARI KIAMAT KESAN WUDUK SEMPURNA


Wuduk (وُضُوء) adalah perbuatan menggunakan air untuk membasuh angota-anggota tertentu dengan niat untuk mengangkat hadas. Adapun wadhu (وَضُوء) dengan difathahkah huruf waw bererti air yang digunakan untuk wuduk.
Al-Hafiz Ibnu Hajr rahimahullah berkata, “Perkataan wuduk diambil dari pecahan perkataan al-wadha-ah yang bererti bercahaya. Ia dinamakan demikian kerana orang yang mengerjakan solat menyucikan dirinya (dengan wuduk) sehingga menjadi bercahaya.” Hal yang semakna dengannya disebutkan juga oleh Imam Al-Syaukaani rahimahullah dalam Nailul Authar Bab Sifat Wudhu.

KEUTAMAAN WUDUK

PERTAMA: Cahaya pada hari kiamat.
Orang yang berwudhu dengan wuduk yang sempurna akan mendapat cahaya pada wajah, hujung kedua tangan, dan kedua kakinya pada hari Kiamat kesan dari dia berwudhu ketika di dunia.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan wajah dan hujung kedua anggota tangan dan kaki mereka bercahaya hasil daripada kesan-kesan wuduk.” (Bukhari Muslim)
Apabila dikatakan umatku atau umat Nabi Muhammad, ia membawa dua maksud;
  1. Umat Al-Dakwah (umat yang diseru yakni seluruh manusia)
  2. Umat Al-Ijabah (umat yang menerima seruan, yakni kaum Muslimin).
Yang dimaksudkan dengan ‘umatku’ dalam hadis ini adalah umat Al-Ijabah iaitu umat Islam yang telah menerima dakwah Nabi Muhammad.
Pada hari Akhirat kelak, mereka ini yang akan diseru dan mereka akan datang dalam keadaan wajah serta hujung kedua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana hasil dari ibadah wuduk yang mereka kerjakan ketika di dunia. Kesan anggota badan yang telah dibasuh dan disapu untuk wuduk itu akan menjadi tanda umat Nabi Muhammad pada hari Kiamat kelak.
Manusia pada hari Kiamat tidak memakai tanda nama yang menunjukkan mereka Muslim, tetapi cahaya kesan dari wuduk ini menjadi tanda yang tidak boleh dipalsukan. Dengan cahaya-cahaya ini umat Nabi Muhammad dikenali pada hari kiamat. Umat yang lain, jauh sekali orang-orang kafir, mereka tidak ada cahaya-cahaya ini.
KEDUA: Setengah daripada iman.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Bersuci (berwuduk) adalah setengah daripada iman.” (Riwayat Muslim)
KETIGA: Menghapuskan dosa-dosa kecil serta meninggikan darjat.
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda, “Apabila seorang hamba Muslim itu berwudhu dan dia membasuh wajahnya, maka keluarlah semua kesalahan-kesalahan hasil daripada pandangan matanya bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir. Dan apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah dari tangannya semua kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kedua tangan itu bersama air sehinggalah titisan air yang terakhir. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan kaki yang telah digunakan untuk berjalan bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir. Sehinggalah akhirnya dia keluar (selesai wudhu) dalam keadaan dia suci daripada dosa-dosa.” (riwayat Muslim)
Uthman radhiyallahu ‘anhu berkata, “Aku melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini, kemudian Baginda bersabda, “Barangsiapa berwudhu seperti wudukku ini maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Manakala solat dan langkah kakinya menuju masjid menjadi tambahan (pahala).” (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang Muslim berwuduk dengan membaguskan wuduknya lalu mengerjakan solat, melainkan Allah akan mengampuninya antara solat itu dan solat berikutnya.” (Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berwuduk lalu membaguskan wuduknya, nescaya kesalahan-kesalahannya keluar dari badannya hingga keluar dari bawah kuku-kukunya.” (Riwayat Muslim)
Maksud membaguskan wuduk adalah mengerjakannya secara sempurna (mencakupi rukun, kewajipan dan sunnah-sunnah wuduk) sesuai dengan petunjuk Nabi SAW.
Dari Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah akan menghapus kesalahan-kesalahan dan mengangkat darjat?” Mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Menyempurnakan wuduk pada keadaan yang dibenci (misalnya keadaan sangat sejuk), banyak berjalan ke masjid, dan menunggu solat berikutnya setelah solat. Maka itulah ribath, itulah ribath.” (riwayat Muslim)
Ribath adalah amalan berjaga di daerah perbatasan antara daerah kaum muslimin dengan daerah musuh. Maksudnya pahala amalan tersebut disamakan dengan pahala orang yang melakukan ribath.
KEEMPAT: Wuduk adalah amalan yang membawa ke Syurga.
Dari Umar RA., dari Nabi SAW Baginda bersabda, “Tidaklah seseorang dari kalian berwuduk secara sempurna lalu mengucapkan: Asy-hadu an laa ilaaha illallah wahduu laa syarika lah wa asy-hadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi bahwa tiada Tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagiNya dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Nya) melainkan kelak akan dibukakan untuknya lapan pintu syurga yang kepadanya dipersilakan untuk masuk melalui pintu mana saja yang dia sukai.” (Riwayat Muslim)
Juga dalam hadis lain Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA. setelah solat fajar, “Sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di Syurga.” Bilal berkata, “Tidaklah aku mengamalkan suatu amalan yang lebih aku harapkan di sisiku, melainkan berwuduk pada malam atau siang hari dan terus mengerjakan solat yang dapat aku lakukan setelah itu.” (Bukhari dan Muslim)
Hadis-hadis yang disebutkan ini jelas menunjukkan kelebihan wuduk. Keutamaan ini hanya dimiliki apabila wuduk dilakukan secara sempurna. Kesempurnaan wuduk ini tentu sahaja dikembalikan kepada dua syarat diterima ibadah secara mutlak; iaitu ikhlas kerana Allah, dan ittiba (mengikuti contoh dari Rasulullah SAW), sebagaimana sabda Baginda, “Barangsiapa yang berwudhu seperti wudukku ini, nescaya dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Muslim).
Maka wajarlah untuk kita mempelajari serta mengerjakan wuduk itu dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Moga-moga kita tergolong di kalangan mereka yang mendapat fadilat-fadilat ini.

PERKARA MEWAJIBKAN WUDUK
Ibadah wuduk hanya diwajibkan dalam dua keadaan;

1. SOLAT.
Wuduk adalah di antara syarat sah solat, di mana solat adalah ibadah yang paling utama bahkan ibadah pertama yang akan disoal kepada seseorang itu pada Hari Akhirat kelak. Sekiranya solatnya diterima dan baik maka baiklah seluruh amalannya, mudahlah urusannya yang berikut. Adapun jika solatnya tidak baik maka sukarlah perjalanan yang akan dihadapi selepas itu di Padang Mahsyar kelak.
Wuduk menjadi syarat sah untuk apa juga solat yang ingin dikerjakan, baik solat fardhu mahupun solat sunat. Hal ini sepertimana keumuman firman Allah, “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu bangkit untuk solat maka basuhlah wajah kamu, dan kedua tangan kamu sehingga ke siku, dan sapulah kepala kamu, dan kedua kaki kamu sehingga dua buku lali.” (Al-Maaidah: 6)
Di antara hadis Nabi tentang wudhu sebagai syarat sah untuk solat adalah Baginda SAW bersabda, “Tidak akan diterima solat seseorang yang berhadas sehingga dia berwuduk.” (Bukhari dan Muslim)
Seseorang yang mengerjakan solat dalam keadaan berhadas maka solatnya tidak diterima sehingga dia mengangkat hadas tersebut dengan berwudhu. Bahkan kalau dia sengaja solat tanpa wuduk, dia berdosa kerana solat dalam keadaan tidak suci (berhadas).
Hadas adalah satu sifat berbentuk hukum, di mana keberadaan hadas menyebabkan ibadah yang disyaratkan taharah (bersuci) menjadi tertolak. Jika seseorang melakukan juga ibadah yang disyaratkan taharah dalam keadaan berhadas, maka ibadah itu tidak diterima dan tidak sah.

2. TAWAF DI BAITULLAH AL-HARAM.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW, “Tawaf di Baitullah sama seperti solat, kecuali Allah membolehkan berbicara di dalamnya.” (Sahih. Al-Tirmizi)
Hanya dalam dua keadaan ini sahaja kita diwajibkan berwuduk. Bagaimana pun, umat Islam disunnahkan untuk sentiasa dalam keadaan berwuduk demi meraih kebaikan-kebaikan yang bisa diperoleh kesan daripada ibadah wuduk tersebut.
Bahkan Rasulullah SAW tidak berzikir yakni menyebut nama Allah kecuali dalam keadaan Baginda berwuduk. Dan kita dituntut untuk sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan.
Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Al-Muhajir bin Qunfudz RA, dia pernah mendatangi Nabi SAW ketika Baginda sedang buang air kecil. Dia mengucap salam kepada Baginda namun Baginda tidak menjawab salamnya sehingga Baginda berwuduk lalu Baginda berkata, “Sungguh aku tidak suka menyebut nama Allah melainkan dalam keadaan bersuci.” (Sahih. Abu Daud)

Sumber : ustazidrissulaiman



via Bin Usrah SUMBER : http://ift.tt/29OSAPl


EmoticonEmoticon