Sewaktu menulis kisah ini, hati sedih sangat. Teringat arwah mak dan segala derita yg arwah mak tanggung sebelum dijemput ilahi. Saya ingat kata-kata arwah mak..
"biarlah ayah taknak balik. Satu hari nanti dia pasti balik. Bila orang dah buang dia. Masa tu dia cari mak balik. Tapi waktu dia cari mak tu.. Mak dah tak ada"
Ayah saya mempunyai 3 orang isteri. Arwah mak isteri pertama, manakala isteri kedua dan isteri ketiga yang dikahwininya mungkin tahun yang sama cuma beza bulan saja. Kerana anak isteri kedua dan anak isteri ketiga hanya beza setahun saja tarikh lahir mereka.
Ayah berkahwin secara rahsia dengan isteri kedua dan ketiga ketika saya berumur 9 tahun (mengikut perkiraan beza umur saya dengan anak ayah dari isteri 2 dan 3). Ayah waktu ini baru lepas pencen askar. Duit masih banyak. Sejak berkahwin yang kedua dan ketiga, ayah langsung tidak pulang ke rumah.
Hanya pulang sekejap sebulan sekali untuk beri duit belanja rm50 sebulan dan untuk bayar sewa rumah lebih kurang rm120 sebulan. Saya langsung tidak sempat berbual dengan ayah, kerana ayah hanya menjengah dari luar pintu, beri ikan dan sayur.
Bersama duit belanja. Mak sudah lama syak ayah ada berkahwin lain, tapi ayah tidak mengaku. Kami adik beradik pun tak percaya cakap mak kerana lebih percaya pada ayah. Ayah bagi alasan tempat kerja baru ayah jauh. Jadi ayah tak boleh nak pulang ke rumah. Duit belanja yang ayah beri tidak cukup.
Saya tidak pernah ada duit sekolah. Dan makanan rutin kami bawang, cili kering yang dipotong,ditumis makan dengan nasi. Sewaktu kecil saya tidak terfikir kenapa lauk nasi kami hanya bawang dan cili kering. Kami tak pernah tanya mak.
Mak juga tak pernah cerita. Apa yang saya ingat, sembunyi-sembunyi mak kerja jadi tukang masak dikantin sekolah. Dapat rm15 sehari. Mak suruh kami semua rahsia jangan beritahu ayah. Sebab takut ayah tak balik hantar duit dah.
Perangai ayah memang pelik. Macam banyak sangat benda yang berahsia. Ayah ada suruh adik ambil cop sekolah kerana nak beli komputer guna duit kwsp. Tapi komputer itu tak dapat pada kami. Ayah beriya cerita pada kami.
Ayah beli rumah di kampung, tapi tak pernah bawa kami untuk melihatnya. Ayah tak pernah sambut raya dengan kami. Kali terakhir beraya dengan ayah ketika umur saya 9 tahun. Alasan ayah terpaksa kerja di pagi raya. Ayah jadi orang yang paling kedekut duit. Marah kalau kami minta duit.
Sehingga saya berumur 16tahun. Baru ayah menceritakan segala-galanya. Ayah mengaku pada mak. Mak yang cerita pada kami. Waktu itu saya di asrama penuh. Memang tak boleh terima rupanya selama ini ayah berkahwin banyak. Patutla minta duit asyik kena marah. Tak pernah balik rumah. Tak pernah balik raya.
Lagi sakit hati bila tengok isteri ketiga ayah pakai kereta Honda. Hidup mewah. Sedangkan kami cuma ada sebuah basikal. Yang mak guna kayuh hantar dan ambil kami dulu sewaktu sekolah rendah. Yang mak guna untuk jadi tukang masak kantin.
Ayah beri alasan, itu duit isterinya. Kereta itu dia bayar kongsi-kongsi dengan isteri ketiganya kerana itu nafkah wajib dia. Rumah kami besar stor saja. Rumah isteri ketiganya siap ada sofa, tv besar, katil. Ya saya sebut semua ini sebab rumah saya hanya ada tikar getah.
Saya selalu bergaduh dengan ayah bila mana saya minta duit utk belanja, kerana lepas ayah mengaku berkahwin banyak, dia makin susah nak bagi duit belanja rumah. Kalau dulu tak perlu telefon, tapi lepas dia mengaku asyik kena telefon minta. Banyak kali pula tu. Sampai kena marah.
Waktu ni, hidup kami susah sikit sebab mak dah tak boleh kayuh basikal pergi kerja di kantin. Abang pula tak belajar tinggi. Kerja SPM saja. Kakak keluar universiti tapi tak ada rezeki kerja elok. Hanya jaga taska. Isteri kedua ayah pun katanya merajuk. Hidup isteri kedua ayah pun lebih kurang malang macam kami. Dia lari pulang ke sarawak. Bawa semua anak ayah bersamanya.
Sewaktu umur saya 21 tahun, sedang belajar di universiti , mak meninggal dunia. Secara tiba-tiba. Sejak mak meninggal dunia, hidup saya semakin huru hara. Ayah langsung tak hantar duit belanja. Paling sedih ayah suruh saya tinggal dengan kakak atau dengan abang. Kata ayah dia taknak bayar lagi sewa rumah. Membazir katanya.
Sebab saya tinggal sorang. Saya dengan adik waktu itu. Adik baru habis SPM. Jiwa muda yang masih mentah. Kuat juga memberontak. Memang dia habiskan masa hanya di luar rumah dengan geng-geng motor.
Saya tak dapat nak fokus dengan belajar. Result exam semester itu teruk. Namun saat 'down' saya dan adik tak lama. Allah beri kekuatan untuk bangun tanpa mak. Tanpa ayah. Ayah langsung tak ambil tahu pasal kami. Saya dan adik bagai dibuang terus dari hidup ayah. Waktu itu hanya kakak dan abang tempat kami bergantung.
Dengan makcik (adik kedua mak) yang banyak membantu. Orang lain kerjanya hanya mengutuk ayah. Tanpa membantu kami. Yang mereka tau hanya merendah rendahkan keluarga kami. Bercakap buruk tentang ayah. Kalau lah kami boleh kenyang dengan kritikan mereka, dah lama kami gemuk. Setiap hari makan kutukan.
Selesai degree, saya sambung master. Sewaktu saya suarakan niat untuk sambung master, isteri ketiga ayah orang pertama yang membangkang. Dia suruh saya kerja. Dia kata sampai bila nak tanggung biawak hidup.
Ayah tak cakap banyak. Ayah cuma kata kalau saya nak sambung belajar, cari duit sendiri. Saya sedih sangat. Tapi hati saya kuat untuk terus sambung belajar. Berbekal nestum dan rm50(kakak saya bagi) saya ke johor. Makcik tolong bayar yuran pertama pengajian master saya. Namun duit makan kena cari sendiri.
Yuran semester seterusnya saya cari duit sendiri. Saya buat part time tuisyen. Part time di kedai photostat. Part time mengajar komputer. Macam2 karenah orang saya jumpa. 2 tahun saya survived di Johor. Akhirnya Allah izinkan saya tamat belajar dengan ijazah sarjana.
2 bulan lepas konvo, alhamdulillah saya dapat kerja. Kerja yang sesuai dengan kelulusan saya. Kerja yang buat ayah tiba-tiba cari saya semula. Sikit2 telefon saya minta duit. Minta duit untuk baiki kereta. Minta duit untuk road tax. Minta duit untuk baiki itu. Baiki ini.
Minta duit untuk anak-anak ayah dengan isteri nombor dua. Kerja ayah asyik minta duit saja. Bila saya buka mulut sikit, isteri ketiga ayah cop saya anak derhaka. Anak tak kenang budi. Ayah pun sama. Sampai pernah nak buang saya. Taknak anggap saya anak. Sebab asyik bergaduh dengan mak tiri.
Ya saya dah besar. 25 tahun masa tu. Dah pandai nak melawan cakap isteri ayah. Ayah pula pantang. Pantang kalau kita cakap buruk pasal isterinya. Paling terkilan bila ayah tengking saya dan kata saya kena hormat 'mama' sebab dia pengganti mak. Ayah kata lagi.. selamat ayah dah kahwin dengan mama sebelum mak mati.
Kalau tidak, tak ada siapa nak jaga sakit demam ayah. Ayah memang pertahan isteri ketiganya 100%. Memang sakit hati bila ayah asyik menangkan isterinya. Sampai anak-anak ayah bersama isteri nombor dua pun langsung ayah tak tanya khabar.
Bila mereka telefon minta duit ayah marah. Saya dapat tahu sampai salah seorang anak ayah berhenti sekolah ketika di tingkatan satu kerana tak sanggup dibuli kawan. Saya memang tak sampai hati tengok mereka. Ada juga bulan2 saya kirim duit. Walaupun isteri kedua juga pernah merampas ayah saya, sikit pun saya tak berdendam.
Saya selalu kena marah dengan ayah setiap kali saya ingatkan ayah pada tanggungjawabnya terhadap isteri kedua dan anak2 nya bersama isteri kedua. Tapi ayah tak pernah insaf. Di marahnya saya. Kata saya derhaka. Ayah dan isteri ketiganya marah betul bila saya suruh ayah bawa balik semula isteri kedua dan anak2 ayah ke semenanjung.
Ayah kata siapa suruh mereka yang lari dari ayah. Tanggunglah sendiri. Lama kemudian ayah ceraikan isteri keduanya. Punca cerai dan bila waktu cerai saya tak tahu. Ayah langsung tak beritahu.
Beberapa tahun berlalu, ujian untuk ayah dan isteri ketiganya pula. Ayah jatuh sakit. Kidney failure. Makin hari ayah makin sakit. Mak tiri saya pernah cakap.. Kalau ini bukan rumahnya, dah lama dia angkat kaki tinggal ayah.
Tapi rumah ni rumah dia, jadi ayah yang kena keluar. Saya masa tu tak faham 'hint' mak tiri. Dia juga cakap menyesal kahwin dengan ayah. Lagi pelik dia kata, dia rasa ayah ada pakai minyak guna-guna untuk buat dia kahwin dengan ayah.
Ayah asyik keluar masuk ward. Sampai mak tiri tak boleh sabar. Penat katanya. Dia taknak jaga ayah lagi. Dia telefon kami.. "ambik ayah korang ni. Ayah sendiri pun tak nak jaga! Aku dah tak larat nak jaga dia! Bawa dia balik rumah korang! "
Sekarang, sewaktu saya menulis kisah ini saya dan adik beradik sedang cuba usahakan ayah tinggal dengan kakak walaupun ayah menolak. Kata ayah dia masih ada rumah dan isteri. Taknak tinggal dengan anak2.
Masalah utama ialah pusat dialisis. Kerana pusat dialisis walaupun banyak tapi banyak yang penuh. Kami cuba cari tempat dialisis yang dekat dengan rumah kakak. Memang kami ambil ayah kami. Ya kami ambil balik ayah yang dah berpuluh tahun lupa untuk menyayangi kami. Kami ambil balik ayah yang dirampas dari kami.
Kami ambil balik ayah yang langsung lupa tanggungjawabnya pada kami dulu. Kami tak marah. Kami tak terkilan. Mungkin Allah memang nak kembalikan ayah pada kami.. Di hujung usianya. Ayah pun dah tak berapa nak elok ingatannya. Semalam, dia tanya kakak saya.
"mana mak hang?" mak ialah panggilan ayah untuk mak. Kerana isteri no 2 dan no 3 dipanggil 'mama'.
Kakak jawab.. Mak ada di syurga ayah. Saya hanya mampu menahan sebak dengar cerita kakak. Ayah cari mak. Ayah cari mak. Tapi waktu ayah cari mak. Mak dah tak ada. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk ayah. Moga Allah mudahkan usaha kami untuk terus menjaga ayah sehingga ke akhir hayatnya nanti. Semoga kami terus istiqamah dan bersabar melayani karenah uzur ayah.
Ayah. Kami anak ayah. Ayah jangan risau. Kami tak akan buang ayah. Apa yang kami buang ialah marah dan terkilan kami pada ayah suatu masa dulu. Ayah yang ada pada kami nanti ialah ayah kami. Ayah yang mungkin pernah gembira saat kami dilahirkan. Ayah yang mungkin pernah melambung kami masa kecil sampai ketawa berdekah.
Sumber : kaki share
Sumber :
EmoticonEmoticon