Suri Rumah Dipenjara Kerana Curi Makanan, Tisu Dan Syampu


Gara-gara mencuri beberapa jenis makanan ringan, tisu dan syampu di sebuah pasar raya di sini, seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, Isnin.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Afizah Ab Ghani, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan berkenaan selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada Khamis lepas dan perlu membayar denda berkenaan atau berdepan hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa mencuri makanan ringan, tisu, syampu dan perapi, pil vitamin C dan set cadar di pasar raya bernilai kira-kira 170.91 pada pukul 9.20 pagi di pasar raya berkenaan di sini.

Nor Afizah dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Tertuduh yang berasal dari Repek, Pasir Mas dalam rayuannya merayu agar majistret mengenakan hukuman yang ringan kepadanya kerana melakukan kesalahan itu pada kali pertama namun Pegawai Pendakwa Perundangan Firli Farulyzan Yahaya meminta mahkamah memberi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.


Sumber : kaki share

Sumber :


EmoticonEmoticon