'Saya nampak satu kereta itu memecut laju & pemandunya sedang bermain telefon' - Mangsa


JOHOR BAHRU: "Kami berhenti dalam 10 minit, tiba-tiba saya nampak sebuah kereta memecut laju menuju ke arah kami dan terus merempuh kami," kata seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian rempuhan pagi tadi. 

Muhammad Zulfadli Yusri, 19, berkata beliau dan beberapa lagi rakannya datang dari kawasan rumahnya di Stulang Darat, di sini sebelum bertemu kumpulan lain di lokasi kejadian. 

Katanya, semua yang berkumpul di lokasi kejadian bukan bergerak dalam kumpulan sama, sebaliknya hanya bertemu di kawasan itu sebelum rempuhan berlaku. 

"Saya datang dari Petronas (Jalan Lingkaran Dalam) dan nampak beberapa kumpulan basikal berhenti di sebelah kubur (lokasi kejadian), jadi saya ke sana untuk melihat apa mereka buat.
"Ketika bersama kumpulan itu, saya nampak satu kereta dan pemandu perempuan itu sedang bermain telefon terus merempuh kami sedang berhenti di situ," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Wad Barat 2 Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini selepas Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif mengadakan lawatan melihat mangsa di wad berkenaan. 

Muhammad Zulfadli berkata, selepas rempuhan itu dia berasa seperti 'terbang' tercampak sebelum menyedari kaki kanannya patah pada bahagian betis. 

Seorang lagi mangsa terselamat, Muhammad Arassat Abdullah, 14, berkata dia bersama kawannya dalam perjalanan pulang selepas makan di sebuah restoran makanan 24 jam tidak jauh dari lokasi kejadian. 

"Saya baru lepas makan dan dalam perjalanan pulang ke Flat Desa Mutiara sebelum berhenti melihat kumpulan basikal di lokasi kejadian tetapi tiba-tiba saya dirempuh dan gelap mata. 

"Sedar-sedar saya dibantu oleh beberapa orang dan ambulans sudah banyak ada di lokasi kejadian...darah dan ramai yang terbaring," katanya menceritakan suasana kejadian selepas rempuhan. 

Berdasarkan maklumat sumber, dua yang parah dan masih dirawat dikenal pasti sebagai Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17 dan Muhammad Nazri Mahmudi, 14, manakala seorang lagi belum dikenal pasti identitinya. 

Selain Muhammad Zulfadli dan Muhammad Arassat, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan kepala ialah Muhamad Farhan Che Mat, 16; Mohd Abdul Samad Abdul Kadir, 16 dan Muhammad Arif Salman, 15. - Berita Harian
SUMBER : http://ift.tt/29OSAPl


EmoticonEmoticon